Sunday, 13 September 2015

HENTIKAN KEGANASAN TERHADAP WANITA !

             PENGENALAN
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 35 peratus daripada semua wanita akan mengalami keganasan. Kajian tersebut menyatakan keganasan terhadap wanita bukan isu remeh dan kecil yang hanya berlaku kepada sebilangan kawasan komuniti namun ia adalah isu global yang menjadi semakin berleluasa dan memerlukan tindakan segera untuk menanganinya.

Berdasarkan kepada Handbook for National Action Plans On Violence Against Women terbitan UN Women pada 2012, kebanyakan keganasan terhadap wanita dilakukan oleh orang yang dikenali wanita tersebut dan kebanyakan kes tidak dilaporkan kerana masalah dalaman keluarga atau masalah peribadi.


HENTIKAN KEGANASAN TERHADAP WANITA
Keganasan terhadap wanita yang paling kerap adalah keganasan yang dilakukan oleh pasangan wanita yang merangkumi suami, bekas suami atau teman lelaki.

UN Women telah menggariskan langkah-langkah yang dapat membantu usaha menangani keganasan terhadap wanita. Antaranya adalah penyediaan ruang dan peluang yang saksama kepada wanita dalam aspek ekonomi, sosial dan politik, pelaksanaan program kesedaran kepada pelbagai peringkat golongan dan pelaksanaan program kesedaran bagi pihak media agar sentiasa menonjolkan imej positif wanita.

Di Malaysia, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia sehingga 2014, sebanyak 2,874 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan, sebanyak 4,123 kes berlaku dalam tahun 2013 dan sebanyak 3,488 kes dilaporkan dalam tahun 2012. Bagi tempoh yang sama, purata kes keganasan rumah tangga yang mangsanya adalah wanita adalah sebanyak 3,103 kes setahun.

JENIS-JENIS KEGANASAN DAN JENAYAH YANG DILAKUKAN TERHADAP WANITA DI MALAYSIA
  1. Keganasan rumah tangga
  2. Keganasan di tempat kerja
  3. Keganasan dan kecederaan di tempat awam (parkir kereta, tempat terpencil, taman rekreasi, tempat membeli belah dan sebagainya)
  4. Keganasan di kediaman sendiri (rompakan, rogol, bunuh)
  5. Keganasan ke atas wanita dan manipulasi pemerdagangan (pelacuran,sindiket pengemisan)
  6. Keganasan berbentuk emosi (penderaan mental,kata-kata hina, penganiayaan dan pengabaian rumah tangga ,ekonomi)
BENTUK SOKONGAN YANG BOLEH WANITA DAN MASYARAKAT LAKUKAN

  1. Talian Nur - Perkhidmatan Talian Nur 15999 telah disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat(KPWKM) sejak 5 Disember 2007 dan talian khusus untuk kanak-kanak iaitu Childline 15999 pada 2010 bagi memudahkan orang awam termasuk mangsa membuat aduan atau pun mendapat khidmat nasihat termasuklah mengenai penderaan, pengabaian dan keganasan.Talian ini beroperasi 24 jam sehari dan 365 hari setahun.Petugas akan menerima laporan dari pengadu dan memanjangkan aduan kepada pihak berwajib iaitu polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Wanita dan pihak JKKN Kampung untuk tindakan pantas dan segera.
  2. One Stop Crisis Centre-OSCC - Kerajaan juga telah menubuhkan pusat khidmat bersepadu (ONE STOP CRISIS CENTRE-OSCC)di semua jabatan kecemasan hospital kerajaan bagi memberi perkhidmatan pemeriksaan, rawatan dan pengesahan kes-kes keganasan rumah tangga, kes pukul,semun ragut serta menguruskan laporan polis bagi membantu wanita. OSCC ini bercirikan kerjasama bersepadu dan diselaraskan secara multi-sectoral dan antara agensi iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan bagi pengurusan kes keganasan.Kini terdapat sebanyak 129 buah OSCC di seluruh Malaysia.

APA YANG PERLU WANITA LAKUKAN

BERFIKIR DAHULU SEBELUM BERTINDAK

  1. Jangan berada di tempat sunyi.
  2. Elakkan meletakkan beg tangan atau dompet yang mudah dicapai oleh orang lain umpamanya di dalam raga motosikal atau atas kerusi penumpang dan sebagainya.
  3. Jangan menumpang kenderaan individu yang tidak dikenali walaupun berteman.
  4. Jangan meninggalkan anak kecil bersendirian dan keluar untuk membuka pintu rumah.
  5. Bawa bersama penyembur lada atau alatan yang boleh digunakan untuk menakutkan penjenayah dalam keadaan paling kritikal.
  6. Jangan terus memberhentikan kenderaan yang dilanggar dari belakang, berhenti di tempat ramai penduduk atau balai polis berdekatan.

No comments:

Post a Comment