Monday, 7 September 2015

Teks Ucapan Perasmian

Bismillahirahmanirahim,
Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,

 Terlebih dahulu marilah kita merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah
kurnia dan keizinan daripada-Nya,dapatlah kita bersama-sama berada di majlis perasmian ‘Hari Gotong Royong Sekolah’ yang diadakan buat julung-julung kalinya. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua ahli jawatankuasa perlaksanaan yang bertukus lumus dalam menjayakan penganjuran program ini yang sememangnya sangat memberikan manfaat kepada semua warga sekolah.

Para hadirin sekalian,
  Sekolah yang bersih dan cantik dapat menarik minat murid-murid untuk datang ke sekolah dan lebih berasa bersemangat untuk belajar.Ini disebabkan oleh persekitaran sekolah yang bersih lagi ceria.Oleh itu,kita seharusnya bekerjasama untuk membersihkan dan menceriakan kawasan sekolah agar murid-murid berasa selesa ketika mereka menuntut ilmu.

  Tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan tahap kebersihan sekolah ini dan kesedaran kepada para murid dan guru tentang kebersihan.Selain itu, program ini juga bermatlamat untuk
mencegah penyakit yang disebabkan oleh nyamuk aedes. Malah, dengan program ini juga hubungan
sillaturrahim antara anak murid dengan guru dapat dieratkan.

  Di samping itu, saya sebagai guru besar Sekolah Taman Mawar merancang untuk mengamalkan
projek lestari alam sekitar dalam sekolah ini. Untuk permulaan langkah, semua warga sekolah perlulah
 mengurangkan pembuangan bahan buangan. Selain itu, kita juga boleh mengelakkan pembaziran
 tenaga elektrik dengan menutup suiz lampu kelas atau makmal selepas digunakan.

  Malah, kita sebagai warga sekolah seharusnnya mempunyai perasaan sehati sejiwa bersama-sama untuk menjayakan hari gotong-royong dan projek lestari alam sekitar ini agar sekolah kita bersih dan cantik dipandang masyarakat
luar. Sesungguhnya, Allah ada berfirman dalam surah Ar- Rum, ayat 41 yang bermaksud telah
nampak kerosakkan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali ke jalan yang benar.

 Berdasarkan ayat itu, kita seharusnya perlu menjaga alam sekitar yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mahluknya. Oleh itu,marilah kita bersama-sama melestarikan alam sekitar demi kehidupan yang lebih aman,sihat dan sejahtera di masa kini dan masa hadapan.

Para hadirin sekalian,
  Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan tahniah kepada
jawatankuasa penganjur kerana berjaya mengadakan Hari Gotong-Royong Sekolah yang sangat bermanfaat ini. Saya sesungguhnya akan sentiasa menyokong penuh
program yang mampu memberikan impak terhadap pembangunan murid di sekolah ini. Dengan lafaz
 Bismillahrahmanirahim, saya dengan ini merasmikan Hari Gotong Royong Sekolah Taman Mawar.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment